ENTAH ke mana dia ingin pergi. Dia tak tahu destinasi. Dia tak tahu arah mana dia harus tuju. Ada simpang dia masuk, ada selekoh dia membelok. Alia terus memandu tanpa arah tujuan. Tidak tahu ke mana dia harus pergi sebenarnya. Kepalanya bingung. Alia tidak tahan lagi. Dia hendak pergi jauh dari Kuala Lumpur. Sudah berapa lama Alia memandu, dia baru perasan hendak melihat papan tanda.
“Kemaman!”
“Hah!” Alia terkejut. Patutlah dia rasa berjam-jam dia memandu. Letih bukan kepalang. Perut berdendang bermacam-macam lagu sudah. Dari siang hingga ke malam dia menekan pedal minyak. “Aduh! mana aku nak pergi ni.....” Alia mula resah. Dia melihat kiri kanan. Mencari sesiapa untuk bertanya. Kereta dipandu dengan perlahan. Dari jauh dia ternampak papan tanda ke Awana Kijal Beach Resort. Senyum lega terukir indah di bibirnya. Perlahan dia memandu ke arah itu. Hampir lima belas minit dia sampai di sana.
Selesai mandi dan solat, Alia merebahkan badannya di atas katil. Terasa tegang urat-uratnya. Perut yang tadinya berdendang kini diam, dia terlebih dahulu mengisi sebelum daftar masuk ke hotel itu. Sambil itu dia berfikir, tak sangka dia boleh memandu hingga ke negeri Terengganu. Tak sangka dia boleh melarikan diri sejauh itu. Alia lega. Akibat keletihan yang melampau dia terlena hingga ke subuh.
Keesokan harinya dia berjalan-jalan di tepian pantai. Indahnya ciptaan Tuhan. Laut yang tenang membiru amat mendamaikan. Betullah apa yang dikata, laut itu memberi ketenangan jiwa yang sukar dimengertikan. Alia ingat lagi kata-kata dari sebuah buku yang dia baca, Rasulullah S.A.W. amat suka dengan laut, air terjun... kerana itulah ubat penenang hati...dia akui, hatinya mulai tenang bila menikmati keindahan ciptaan Ilahi.
Persoalan yang bermain di mindanya sejak beberapa hari yang lalu masih belum terjawab. Nota ugutan dari seseorang yang dia tidak kenali yang dijumpai terselit di cermin depan keretanya membuatkan dia rasa tidak selamat dan tidak senang hati. Hari perkahwinannya, hanya tinggal beberapa hari lagi. Alia meraup mukanya. Menghembus nafas resah yang bersarang di dadanya. Dugaan demi dugaan datang bertamu saat dia mahu mengecapi hari bahagia dalam hidupnya. Dugaan yang rasa tak tertanggung olehnya.
Nota yang remuk di dalam tas tangan diambil dan ditatap untuk kesekian kalinya. Alia mendegus lemah. Air matanya menitik setitik demi setitik. Apa keputusan yang harus dia lakukan. Sebaris isi ugutan itu dibaca berulang kali.
“ AWAS! JAUHKAN DIRI AWAK DARI ADAM, JIKA MAHU ADAM SELAMAT!”
Alia bingung. Apa yang harus dia lakukan. Nyawa Adam dalam bahaya andai dia nekad meneruskan majlis mereka. Argh!!! Alia menjerit. Biar semua masalahnya dibawa terbang oleh angin bayu di pantai itu. Jauh Alia membawa diri. Berada di situ membuatkan dia rasa nyaman dan segar. Dia mahu lari dari semua kemelut perasaanya. Telefon bimbitnya dimatikan. Biar dia tidak dihubungi oleh sesiapa pun. Dia mahukan ketenangan. Kedamaian.
Angin petang bertiup lembut. Hembusan ombak menghempas pantai mendamaikan sebentar hatinya yang resah dan gelisah. Dia berjalan menyusuri pantai tanpa hala tuju. Pandangan matanya dilempar jauh ke tengah lautan. Wajarkah dia memberitahu Adam tentang ugutan itu. Arghh!! Alia buntu. Perasaan takut mula menguasai dirinya. Mesti Adam risaukan dirinya yang hilang secara tiba-tiba. Bukan dia tidak kesiankan Adam. Namun ugutan itu benar-benar buat dia hilang arah. Pada siapa harus dia mengadu.
Alia melangkah longlai ke meja batu di bawah pohon kelapa yang terletak berhampiran pantai itu. Selepas mengibas pasir-pasir yang bertaburan di atas kerusi, dia melabuhkan punggungnya. Kakinya dilunjurkan ke hadpan. Lautan luas terbentang di hadapannya dipandang dengan renungan kosong. Lama Alia berteleku di situ. Memandang ombak dan burung-burung yang berterbangan. Asyik sekali.
Ingatannya melayang pada perbualannya dengan Adam seminggu yang lepas berkenaan persiapan perkahwinan mereka. Alia tersenyum.
“ Abang, kalau boleh nak buat tema perkahwinan dalam taman. Tapi bila abang memiliki tunang secantik Umaira, abang rasa nak buat tema tradisional lah!”
“Haisyh…kenapa pula ubah pendapat?” Soal Alia hairan.
“ Sebab abang rasa Umaira lagi cantik bila pakai songket. Nampak benar-benar gadis melayu asli. Bertambah jatuh cinta abang. Tak pejam mata sampai bila-bila pun abang sanggup. PandangUmaira je. Sayang nak lepaskan pandangan ke arah lain. Bak kata pepatah, tak jemu mata memandang.Bertuahnya abang,” Terang Adam bersungguh.
“Eeee…abang ni. Berangan tak sudah.” Alia terus menarik hidung Adam.
“ Ouchhh!! Sakitlah sayang,” marah Adam sambil memegang hidungnya yang sudah kemerahan.
Alia ketawa mengekek. Lucu melihat raut wajah Adam dengan hidung merah.
“ Alahai..bucuk sakit ke?” soal Alia masih mengusik.
“ Ooo…dah pandai mengusik abang ye?” Ujar Adam membuatkan Alia tersipu malu.
Lamunannya dimatikan oleh bunyi azan maghrib dari masjid yang berhampiran. Alia tersenyum. Bahagia sekali saat itu. Namun semua itu hanya mimpi indah. Ugutan dari seseorang membuatkan Alia takut untuk menempuhi hari mendatang. Dia takut kehilangan Adam buat selamanya.
Seharian dia meluangkan masa di tepi pantai. Mencari jalan penyelesaian tentang masalah yang dia hadapi. Kepala semakin berat. “Ya Allah, beratnya ujian mu ini…tak tertanggung rasanya aku nak memikulnya.” Alia meraup mukanya. Jam di pergelangan tangan dipandang. Hampir pukul tujuh dua puluh malam. Susana senja yang penuh dengan pemandangan yang menarik dan menakjubkan ditinggalkan seketika. Alia bangun dan melangkah malas menuju ke bilik hotelnya untuk menunaikan tanggungjawab pada Yang Maha Esa. Mengharapkan ketenangan hati agar dia mampu menghadapi setiap dugaan dalam hidupnya.
*****
SEPANJANG malam Alia resah di pembaringan. Sekejap mengiring ke kiri kemudian beralih ke kanan. Malam kian merangkak tua. Alia masih terkebil-kebil seorang diri. Matanya sukar dilelapkan. Fikirannya berserabut. Apa yang difikirkannya dia sendiri tidak tahu. Resah yang tak berkesudahan.
Sesaat kemudian, dia mengeluh di dalam hati mengenangkan dugaan yang dating bertimpa-timpa. Sekiranya dia berkeras juga untuk berkahwin dengan Adam, dia akan kehilangan Adam selamanya.
Ah! Peduli apa dengan ugutan itu. Tak akan aku hendak korbankan cinta aku semata-mata menurut kata orang yang dengki dengan kebahagiaan aku. Aku tak patut lari sejauh ini. Aku dah susahkan Adam. Astaghfirullahalazim….apa yang aku dah lakukan ni? Alia tersedar dengan tindakannya yang terlalu terburu-buru.
Alia nekad, malam itu dia bertahjud pada Allah. Memohon pertunjuk. Memohon perlindungan dari sikap dengki atau kejahatan. Kini dia nekad, apa jua keputusan atau rintangan, perkahwinan dengan Adam harus diteruskan.
Selesai solat sunat Alia kembali berbaring di atas katil. Jam tangan yang terletak di meja sisi katil dilihat. Jarum panjang jam menunjukkan angka dua belas, manakala jarum pendek ke angka empat. Sudah pukul empat pagi rupanya. Dia masih belum lagi tidur. Telefon bimbit yang tersimpan elok di dalam tas tangannya diambil keluar. Lalu dia mengaktifkan semula taliannya. Kemudian bertalu-talu telefon bimbitnya berbunyi menandakan banyak pesanan ringkas yang masuk.
Butang-butang di muka telefon bimbit diteka. Ada lebih kurang lima belas pesanan ringkas yang telah diterimanya. Kebanyakkannya dari Adam dan Suhana. Panggilan tidak berjawabnya juga begitu banyak. Nombor yang keluar adalah nombor telefon Adam dan Suhana. Nombor telefon ayah dan mamanya juga tersenarai. Semuanya bertanya soalan yang sama, dimana dia dan dengan siapa? Alia tersenyum kelat.
Satu per satu pesanan ringkas ditekan. Dibaca sekali imbas dan dipadamkan terus dari memori telefon. Baru beberapa saat talian diaktifkan, Alia terus menerima panggilan dari Adam. Dia membiarkan deringan itu berbunyi agak lama, barulah panggilan itu dijawabnya.
“Assalamualaikum abang,” jawab Alia lembut.
“Umaira….sayang di mana?” soal Adam kelam kabut bila panggilannya bersambut.
“Sayang di Kemaman, Terengganu,” beritahu Alia.
“Ya Allah, jauhnya sayang pergi, patutlah dua hari tak masuk pejabat.Sayang buat abang risau je,” sembur Adam.
“Maaf abang…sayang okey je. Jangan risau. Esok sayang balik sana,” terang Alia mematikan resah hati Adam.
“Sayang buat apa dekat Kemaman? Sayang pergi dengan siapa?” soal Adam masih tidak berpuas hati.
“Seorang diri….” Jawab Alia jujur.
Adam terdiam. Dia dapat merasakan Alia ada menyorok sesuatu darinya. Selama ini Alia tak pernah menghilangkan diri sesuka hati. Walau ke mana Alia pergi pasti dia memberitahu Adam dahulu. Adam berasa pelik. Adam memicit dahinya.
“Sayang tak tidur lagi. Dah pukul empat pagi ni?”
“Belum lagi. Baru lepas solat sunat,” jelas Alia.
Alia meraup wajahnya dengan tenang. Namun jauh di relung hati, hati perempuannya sedang gelisah. Alia menghela nafas panjang yang dirasakan semakin sempit.
“Kenapa sayang…resah je bunyi nafas. Kalau sayang ada masalah ceritalah pada abang. Kita dah berjanji apa sahaja rintangan kita akan hadapi bersama.”
Adam mengeluh berat. Sudah beberapa hari dia tidak boleh lena kerana bimbangkan Alia. Saat mengetahui Alia di Kemaman. Mahu sahaja dia ke sana. Mencari gadis kesayangan hatinya. Namun larangan Alia mematikan niatnya.
“Abang…”
Terdengar suara Alia memanggilnya dengan lembut di talian.
“Ye sayang…” jawab Adam sambil menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
“Ada orang cuba halang perkhawinan kita. Dia bagi surat ugutan pada sayang tiga hari lepas,” beritahu Alia dengan suara perlahan.
Adam tersedak mendengar kata-kata Alia. Agak lama dia berkedaan begitu. Setelah reda baru dia bersuara semula.
“Ya Allah sayang…kenapa sorokkan dari Abang. Sayang okey ke kat sana. Abang risau sangat ni. Jangan balik dulu. Tunggu abang jemput,” balas Adam terus mematikan talian telefon.
Alia menyandarkan belakangnya ke katil. Lega! Hilang resah bila kebimbangannya telah disuarakan kepada tunangnya, Adam. Alia tersenyum lega. Memang niatnya hendak bertolak pulang ke Kuala Lumpur pagi ini. Namum larangan Adam mematikan niatnya. Mahu tak mahu dia terpaksa menunggu Adam datang menjemputnya.
Mulutnya sudah menguap beberapa kali. Mungkin terlalu letih melayan perasaan risau yang tidak keruan. Sedar tidak sedar Alia terlena juga pagi itu. Letih. Itulah keadaan Alia yang boleh digambarkan. Satu malam dia tidak dapat melelapkan mata.
Baru dua tiga jam dia melayan kantuknya, Alia dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbitnya. Nama Adam tertera di skrin telefon bimbit. Sambil menenyeh matanya, dia menjawab panggilan Adam.
Bergegas Alia bangun bila Adam memberitahunya dia sudah berada di lobi Hotel. Cepat betul tunang aku ni. Guna ilmu hitam ker? Ngomel Alia sorang diri. Tanpa melengahkan masa dia terus membasuh muka dan mengemaskan dirinya dia terus turun ke lobi hotel.
Alia memanjang-manjangkan lehernya memandang ke hadapan. Matanya liar memerhatikan kawasan sekeliling lobi. Dia mencari kelibat Adam. Kemudian dia menoleh ke kanan. Renungan makin kejap. Alia mengukir senyum. Semakin lama semakin lebar. Adam sedang enak melepaskan lelah di kerusi berhadapan kolam.
“Abang…”
“Alia…..lega hati abang tengok Alia selamat,” luah Adam sambil memberi ruang duduk pada Alia.
“Maaflah. Alia dah buat abang risau.”
Adam menatap wajah comel di hadapannya. Dua hari tidak bersua muka dengan Alia membuatkan hidupnya menjadi kelam kabut. Serba tidak kena. Alia hanya tersenyum. Dia juga lega Adam selamat sampai ke Kemaman.
“Abang! Cepat betul abang sampai. Naik apa?” soal Alia hairan.
“Ermm..sayang lupa ke? Hari tu kan ke sayang yang inform abang ada mesyuarat di Terengganu. Semalam abang ada di sinilah. Mula-mula nak batalkan mensyuarat ini sebab sayang hilang. Tapi bila abang suruh Fatin telefon customer kita untuk batalkan, diaorang beritahu orang dari jepun dah lama sampai. So, tak sampai hati abang nak batalkan temujanji ini. Sebab tu abang terkejut masa sayang kata ada di Kemamam,” jelas Adam mengulum senyum. Keningnya terangkat.
“Aduh! Terlupalah pula…” balas Alia sambil tersenyum sumbing.
“Sayang dah makan?”
“Belum…” jawab Alia ringkas.
“Jom kita makan dulu. Pastu kita gerak balik KL.”
“Jom.. tapi sayang naik kemas pakaian dulu. Abang tunggu di sini ye.” Alia anggukkan kepalanya seraya bangun dari kerusi.
Adam sekadar anggukkan kepalanya. Dia mengiringi langkah Alia dengan ekor mata sahaja. Nota ugutan yang diserahkan oleh Alia tadi dibaca. Puas otaknya ligat berfikir. Setahu dia, buat masa ini, hanya Lokman dan Yatt sahaja yang cemburu akan hubungan dia dengan Alia. Antara mereka berdua sahaja yang mungkin hantar ugutan itu pada Alia. Fikir Adam.
Hampir lima belas minit menunggu Alia berkemas dan selesai urusan mendaftar keluar dari hotel itu, mereka berdua terus meninggalkan perkarangan hotel tersebut. Sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur mereka singgahmakan dulu kerana perut masing-masing sudah berdondang sayang.
*****
KERETA My-Vi SE warna oren milik Alia dipandu perlahan oleh Adam. Suasana sunyi. Masing-masing melayan perasaan. Cuaca agak panas hari ini walaupun baru pukul sebelas.
“Apa pendapat abang tentang masalah kita?” tanya Alia seraya menoleh memandang tunangnya, Adam.
Adam tidak menjawab. Menoleh ke arah Alia juga tidak. Dia menumpukan perhatian pada pemanduan.
“Abang…”
Adam diam lagi. Cuma kali ini dia memandang Alia sekilas dan kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya.
Alia perasan dengan perubahan sikap Adam. Selalunya Adam ceria. Selalunya Adam suka ketawa dan membuat lawak. Mungkin Adam juga bimbang tentang ugutan itu seperti mana dia rasai.
“Abang…kita batalkan saja majlis kita,” ujar Alia setelah masing-masing berdiam diri.
Adam memandang Alia. Mulutnya terlopong sedikit. Dia kelihatan terkejut. Riak wajahnya jelas kelihatan berubah. Berguraukah Alia? getus Adam dalam hati.
“Apa sayang cakap ni? Sayang tak sayangkan abang ker? Sayang jangan bergurau. Walau apapun terjadi, majlis kita tetap akan berlangsung walaupun nyawa abang jadi taruhan,” kata Adam bersungguh-sungguh. Adam terkesima. Wajah gadis itu direnung dalam-dalam. Alia suka berfikiran singkat. Dia geram.
Alia memandang wajah Adam sekilas dan kembali memandang ke hadapan semula.
“Sayang tak bergurau. Sebab sayang sangat-sangat la kita harus berkorban. Daripada sayang kehilangan abang buat selamanya. Biarlah kita berkorban,” jelas Alia. Walaupun tersiksa, dia terpaksa. Dia tak sanggup kehilangan Adam andai mereka diijakabulkan nanti. Dia tak mampu hidup sendirian tanpa Adam yang amat dicintai.
“ Umaira….please stop? Abang tak sanggup.” Ujar Adam sambil memberhentikan kereta di bahu jalan. Adam menghembuskan nafas perlahan. Air liur yang ditelan pun rasa pahit di kerongkong. Bagaikan ada hempedu yang ditelan bersama. Bagaikan ada duri yang menyucuk tekaknya. Pahit dan menyakitkan. Nafas yang ditarik serasa tidak sampai ke kemuncaknya. Otaknya berserabut. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya.
“Kita nak buat apa? Sayang dah buntu. Sayang serius. Kita batalkan dulu majlis ini. Kalau ada jodoh tak ke mana abang,” kata Alia bersungguh. Air matanya menitis setitis demi setitis.
Alia terdiam. Membisu tanpa kata.
Adam meraup wajah dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Dia jadi tidak keruan. Dia kehilangan kata-kata. Bagaikan ada batu besar menhempap kepala Adam. Sakit! Apatah lagi mengenangkan majlis mereka akan berlangsung minggu depan. Tega Alia mengutara pendapat sedemikian.
“Sayang…dengar sini. Kita tetap akan berkahwin. Lagipun minggu depan aje kita akan bernikah. Minggu depan juga majlis perkahwinan tu nak diadakan. Macam mana nak dibatalkan? Semua persiapan kita dah buat. Jangan fikirkan perasaan kita sendiri. Cuba fikir perasaan mama, papa, ayah dan ramai lagi. Dengar sini! tiada siapa berhak menghalang majlis kita. Sayang bawa bertenang. Abang tak akan apa-apa. Itu janji abang. Susah senang kita akan harungi bersama,” kata Adam cuba menyakinkan Alia.
Alia sekadar anggukan kepala. Hatinya yang resah sejak dua tiga hari yag lepas terasa lega dengan janji Adam. Walaupun perasaan penuh dengan perasaan takut dia cuba berfikiran positif.
“Sayang rasa ini angkara Lokman lah!” Alia bersuara semula. Keras sekali intonasinya.
“Umaira..tak baik tuduh orang tak tentu pasal. Abang tak suka Alia bersikap begitu. Kita tak ada bukti nak menuduh dia,” bidas Adam.
“ Abang! Kita ada dua musuh je.. seorang namanya Lokman, seorang lagi perempuan sombong tu. Antara dia orang berdua sahaja. Orang lain mana ada.”
“Sudahlah, tak payah fikir lagi. Jom..kita balik. Kesat air mata tu,” kata Adam sambil melirik jam di pergelangan tangannya. Enjin kereta dihidupkan, bersedia untuk berlalu dari tempat itu.
Alia hanya berdiam diri. Air matanya masih lagi menitis. Kalau ikutkan hatinya dia tidak mahu lagi balik ke Kuala Lumpur. Kenapa dia harus diuji dengan dugaan sehebat ini. Dia tidak cukup kuat untuk semua itu. Kehilangan cinta Adam ibarat seperti dia kehilangan nyawanya sendiri. Alia memejamkan matanya. Cuba mengusir persoalan yang bermain di fikirannya.
Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, mereka saling membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Adam memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu. Hampir pukul sembilan malam baru mereka tiba di rumah Alia.
Ketika mereka sampai Pak Mat, pemandu keluarga Adam sudah sedia ada di halaman rumah Alia. Setelah memastikan Alia masuk ke dalam rumah. Adam terus pulang ke rumahnya. Penat! Matanya bagaikan ada gam. Seharian memandu membuatkan dia telalu letih saat ini.
Sampai di rumah Adam terus masuk ke dalam biliknya. Selesai membersihkan dirinya Adam berbaring di atas katil. Benaknya letih. Badannya lesu. Semangatnya terasa terbang melayang entah ke mana. Otaknya sarat dengan pelbagai soalan. Dengan masalah syarikat, masalah peribadi lagi. Berita yang terpapar di surat khabar yang dibaca dua tiga hari lepas kembali berlegar-legar di fikirannya. Sampai hati Yatt gugurkan semua tender-tender dan kontrak antara syarikat dia dan syarikat mereka. Begitu sekali sakit hati Yatt pada dia.






